Friday, November 22, 2013

NOGORI 9






Keadaan fizikal:

Negeri Sembilan terletak di Semenanjung Malaysia di sempadani oleh Negeri Selangor di utara Negeri Pahang di timur dan Negeri di utara Melaka dan Johor di selatan. Negeri ini seluas 2565 batu persegi. Bahagian yang terpanjang sekali dari utara ke selatan ialah 60 batu, sementara dari timur ke barat ialah 65 ½ batu.
Banjaran pergunungan tengah Semenanjung Malaysia ini melalui Negeri Sembilan menjadikan kawasan tengah dan barat-laut negeri ini berbukit-bukit. Sungai Linggi, Sungai yang utama di negeri ini bermula dari pergununggan utara seremban, dari puncak Gunung Telapak Buruk yang setinggi 3,915 kaki.
Selain dari itu, Negeri Sembilan juga mempunyai kawasan pantai sepanjang 30 batu.  Port Dickson yang terletak 25 batu ke barat-laut Seremban merupakan salah satu daripada kawasan-kawasan pantai yang terkenal di Semenanjung Malaysia sebagai tempat perkelahan terbaik. Di Port Dickson juga terletak Ibupejabat dan Pusat Latihan Askar Melayu Diraja Malaysia.
Iklim di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa pada bulan-bulan Mac, April dan Mei merupakan sebagai bulan–bulan di mana suhu panas tinggi, dengan 90F sebagai peringkat panas yang maksima. Pada bulan–bulan Disember dan Januari pula hawa akan menurun menjadi sejuk, hingga serendah rendahnya 76F. Purata hujan di negeri ini ialah 80 inci hingga 100 inci. Walaupun begitu, Jelebu adalah dianggap sebagai daerah yang terkering sekali di Semenanjung Malaysia yang purata hujannya 65 inci setahun.


Latar Belakang sejarah:

Walaupun bernama negeri Sembilan yang bererti Sembilan buah negeri, namun apa yang sebenarnya terdapat di negeri Sembilan sekarang ialah gabungan secara longgar enam unit kekuasaan politik, yang terdiri daripada Seri Menanti ( termasuk Jempol, Ulu Muar, Gunung Pasir Terachi dan Inas), sungai Ujong, Jelebu, Rembau, Johol dan Tampin yang bertaraf sebagai “luak” sahaja. Dalam hubungan ini . satu perkara yang harus disedari ialah bahawa pengertian “negeri” bagi Negeri Sembilan bukanlah satu unit pentadbiran sebagai “State”, melainkan sebagai “luak”, sama seperti apa yang dimengertikan di tanah Minangkabau.
Walaupun nama Negeri Sembilan yang kekal hingga sekarang ini hanya muncul kira kira pada kurun ke19, namun  dikatakan telah sedia ada Sembilan buah “negeri” yang tercerai cerai sejak kurun ke16 lagi, yang terdiri daripada Sungai Ujong, Rembau, (termasuk Tampin) Kelang (yang kini di dalam negeri Selangor), Jelebu, Naning (yang kini di dalam negeri Melaka) Segamat dan Pasir Besar (yang kini kedua duanya di dalam negeri Johor), Ulu Pahang (yang kini di dalam negeri Pahang) dan Inas.

Pengaruh Inggeris di kawasan ini telah bermula selepas tahun 1844, tetapi pada peringkat ini pengaruh merekaa hanya terbatas kepada beberapa luak yang tertentu dalam hubungan untuk memberi nasihat kepada pembesar pembesar dan penghulu penghulu luak yang tertentu sahaja. Campurtangan Inggeris secara aktif ke atas Negeri Sembilan bermula ketika meluasnya penggunaan dan pengaruh bijih timah di dalam perkembangan ekonomi dunia pada pertengahan kurun ke19. Pada ketika itu di negeri Sembilan berlaku pertentangan di sungai ujong di antara Datuk Kelana dan Datuk Bandar berhubung dengan hak dan kuasa keatas bijih timah yang menggunakan sungai Linggi. Pada tahun tahun yang berikutnya campurtangan Inggeris ini semakin meluas hingga ke seluruh negeri Sembilan.
 Pembentukan Negeri Sembilan seperti yang ada sekarang adalah berasal dari satu perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1885 diantara Gabenor Negeri-Negeri Selat bagi pihak Kerajaan Inggeris dengan Yamtuan Seri Menanti dan penghulu penghulu luak dikawasan ini, membentuk sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan. Satu lagi perjanjian telah di buat pada tahun 1898 di antara Yamtuan Seri Menanti, Tuanku Muhammad dengan Datuk Datuk Undang Yang Empat  kerana melantik baginda menjadi sebagai Raja bagi semua kawasan negeri Sembilan dengan gelaran Yang Dipertuan Besar, Negeri Sembilan, dan pada tahun itu jugalah Residen Inggeris yang pertama bagi negeri Sembilan, E.W. Birch, telah dilantik.
Dua tahu selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Negeri Sembilan telah membentuk sebuah perlembagaan baharu yang dinamakan “Undang­-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, 1959, yang membolehkan penubuhan sebuah Majlis Kerajaan Negeri dan sebuah Dewan Undangan Negeri.

Sebenarnya nenek moyang penduduk bumiputra Negeri Sembilan ini adalah berasal dari Tanah Minangkabau yang telah datang membuat tempat kediaman di sini kira-kira pada kurun ke16, walaupun perhubungan antara dua buah negeri ini diketahui telah sedia ada lebih lama daripada itu.

 Pada masa itu Negeri Sembilan dibawah naungan kerajaan Johor, tetapi sejak tahun 1773 naungan kerajaan Johor ini telah ditamatkan apabila seorang anak raja dari Tanah Minangkabau yang bernama Raja Melewar telah dijemput oleh pembesar-pembesar dan penghulu penghulu luak disini untuk menjadi Raja bagi Negeri Sembilan. Dan mulai tarikh inilah terbentuknya persekutuan Negeri Sembilan. Apa yang menarik perhatian ialah bahawa penduduk-penduduk di Negeri Sembilan mengamalkan sistem Adat Perpatih sebagai satu cara hidup dan peraturan masyarakat mereka. 

No comments:

Post a Comment